Cinta Oh Cinta!
kata orang cinta tidak boleh dipaksa. kalau suka cakap suka , kalau tak
suka cakap tak suka, kalau suka jangan pura-pura buat tak suka. kalau
tak suka jangan buat pura-pura suka.
kononnya cinta itu terjadi sendiri. sebab itu ada orang percaya
kepada dewa cinta - digambarkan oleh orang-orang di negara barat sebagai
bayi berkepak yang mempunyai busur. diceritakan bahawa cinta akan
berputik apabila seorang lelaki dan seorang perempuan terkena anak panah
dewa cinta ini. walaupun tidak pernah kenal atau tidak pernah ada minat
antara satu sama lain, kalau sudah terkena panahan dewa cinta ini,
kedua-duanya akan dilamun cinta. kemudian terjadilah adegan tidur tidak
lena, mandi tidak basah dan makan tidak kenyang.
ada orang percaya cinta itu sudah ditakdirkan. istilahnya jodoh -
mesti ada seorang wanita dilahirkan untuk seorang lelaki di dunia jadi.
cuma masa sahaja yang dapat memberitahu bila kedua-dua mereka ini akan
bertemu. dan cuma masa sahaja akan dapat memberitahu bagaimana kedua
mereka ini akan bertemu. sebab itu kita ada istilah cinta pandang
pertama - sekali jumpa terus jatuh hati. kita kata itu cinta pandang
pertama tapi sebenarnya ia sudah ditakdirkan. begitu juga dengan
pengantin yang tidak seperti pinang dibelah dua. kita kata itu pasangan
pinang tak dibelah dua tapi sebenarnya itu sudah jodoh - takdir Tuhan
bukan untuk dijadikan bahan gelak ketawa.
jika sudah ada dewi cinta dengan panah ajaibnya, mengapa masih ada
bujang lapok? jika sudah ditakdirkan ada pasangan, mengapa masih ada
andartu?
kata orang cinta tidak boleh dipaksa tetapi untuk mencari cinta,
kadang-kadang kita kena juga memaksa. menunggu sahaja di depan pintu
tidak akan menemukan kita dengan cinta. hidup bersahaja sambil
mengharapkan kalau-kalau di tengah jalan boleh ketemu cinta pandang
pertama tidak akan membuahkan cinta.
kadang-kadang kita mesti memaksa diri untuk mencuba. kalau kita suka
tetapi orang yang kita suka itu kata tidak suka, jangan terus habiskan
niat itu di situ sahaja. sukan besbol pun ada tiga peluang sebelum
diberikan strike. sesekali kita mesti memaksa diri kita untuk mencari.
walaupun cinta tidak dijual di kedai basikal jauh sekali dijual timbang
kilo di pasaraya hiper, cinta akan datang kalau kita ada usaha pergi
mencari.
asalkan kita mahu bercinta, sesekali memaksa diri apa salahnya. begitu juga kalau nak jadi pandai.
kadang-kadang kita rasa kita dilahirkan semulajadi tidak pandai.
ambil apa-apa periksa pun mesti markah corot. diajar macam-macam dalam
kelas, keluar kelas habis semua lupa. orang lain buat pengamiran sambil
tutup mata, kita sifir enam pun tak berapa nak ingat.
tapi kalau kita mahu jadi pandai, kadang-kadang kita kena paksa diri
sendiri. kalau orang lain baca sekali sudah boleh ingat tapi kita baca
sekali langsung tak ingat, kita kenalah baca banyak-banyak kali. kalau
orang lain boleh buat kira-kira pakai congak tapi kita sifir pun tak
habis hafal, kita kenalah cari alat-alat yang boleh menolong kita
membuat kira-kira. misalnya cari kalkulator, sempoa atau memakan kismis -
kata orang makan kismis boleh menguatkan daya ingatan.
tapi kalau kita sudahlah tidak mahu jadi pandai, tidak mahu memaksa
diri pula itu maka kita akan jadi apa yang kita jadi sekarang - mungkin
lebih teruk.
hari ini dan tiga hari yang berikutnya, saya diberi latihan untuk
menggunakan sebuah perisian. 'cikgunya' diimport dari afrika selatan
yang didatangkan dari singapura. seperti juga perisian-perisian lain
yang 'saya kena belajar', saya selalu ada mentaliti untuk tidak mahu
jadi pandai - tahu guna sahaja cukuplah. kalau jadi pandai, lagi banyak
kerja yang kena buat. kalau jadi pandai, lagi besar tanggungjawab. jadi
eloklah 'pandai yang sedang-sedang aje'. kurang sikit risiko.
tapi kalau 'pandai yang sedang-sedang aje' ini ada juga risikonya.
tidak pandai langsung lagilah besar risikonya. kerana mentaliti 'asal
tahu guna sahaja' itulah saya masih belum diberi walau satu pun projek
untuk dipegang. dulu ada satu sudah ditarik balik - nak buat projek
bukan setakat kena tahu buat, tapi juga kena tahu cakap. disebabkan itu
juga untuk kebanyakan projek, saya jadi 'orang di belakang' - tolong
sana sikit, tolong sini sikit.
akibatnya orang lain akan melihat saya yang 'pandai sedang-sedang
aje' ini sebagai 'tahu sikit-sikit aje'. bila tahu sikit-sikit sahaja,
gaji pun 'sikit-sikit aje'. kalau dimasukkan dalam projek pun, tolong
'gitu-gitu' aje. nanti bila sudah kerja lama-lama, orang lain dinaikkan
jadi senior saya masih duduk di takuk junior. ini tidak boleh dibiarkan
berlarutan.
pandai tidak ada dewa pandai yang akan memanahkan sesiapa yang
bengap. pandai pada orang-orang tertentu sahaja sudah ditakdirkan.
pandai bagi kebanyakan orang datang dengan usaha.
jadi untuk perisian baru ini, saya ingin mengamalkan 'pandai mesti
dipaksa'. semua proses dari menginstall hingga ke menguninstall mesti
'sudah ada di hujung jari'. semua kod dan setting mesti 'sekali petik
jari' sudah boleh buat semua.
sebagai langkah pertama untuk menjadi pandai, saya akan pulang awal
ke rumah hari ini. tidur lagi baik - apa juga usaha boleh tunggu hingga
hari esok. kalau hendak memaksa diri pun, sekurang-kurangnya jagalah
kesihatan
* di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. di mana ada sayang, di situ ada cinta